Pages

Tuesday, March 3, 2009

KEDEWASAAN BRNEGARA


Tema Hari Kebangsaan Tahun 2009




"KEDEWASAAN BERNEGARA"




"Dalam usia 23 tahun ini, kita sudah menjadi matang dan mampu untuk memahami cabaran-cabaran kehidupan. Di antara cabaran paling mencabar ialah kesediaan kita mengakui kelemahan yang ada, di samping tidak pula lambat untuk membuat pembaikan-pembaikan. "
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-23 Tahun 2007.


Tempoh suku abad negara mencapai taraf sebuah negara merdeka lagi berdaulat telah ditandai dengan pembangunan yang pesat dalam segala bidang kehidupan. Kepesatan pembangunan itu terlaksana atas rahmat Allah Subhanahu Wataala yang mengurniakan nikmat keselamatan, kemakmuran, dan ketenteraman kepada negara ini, dan taufik serta hidayah-Nya kepada para pemimpin yang memikul umanah mentadbir negara pada lunas-lunas yang diredai-Nya. Dalam tempoh suku abad itu tidak syak lagi telah mendewasakan warga negaa "untuk memahami cabaran-cabaran kehidupan" dan meningkatkan Weltanschauung mereka dalam "pemeliharaan perhubungan persahabatan di kalangan antarabangsa atas dasar saling menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan keutuhan (kukuh) wilayah".




Salah satu ciri kedewasaan adalah sikap rendah hati seperti kesediaan mengakui kelemahan sendiri, dan bijak pula melakukan pembaikan ke atas kelemahan itu. Seorang yang dewasa tidak akan bertepuk paha atas musibah atau kecelakaan kita. Kedewasaan menuntut toleransi atau tasammuh ( berbaik sangka) sama ada toleransi berjiran tetangga dalam lingkungan komuniti negara sendiri maupun toleransi supranasional.




"Kedewasaan Bernegara" sebagai tema menyambut tempoh suku abad negara merdeka lagi berdaulat adalah tepat selaras dengan "kita sudah menjadi matang dan mampu untuk memahami cabaran-cabaran kehidupan". Tema "Kedewasaan Bernegara" yang berpaksi kepada institusi-institusi kehidupan sebuah "Negara Melayu Islam Beraja" dapat menjana sinergi semangat kerja keras dan komitmen semua warga negara dalam "tunggak utama negara" demi menjamin kesinambungan negara di tengah-tengah gelombang globalisasi yang semakin mencabar. "Kedewasaan" warga negara - berfikir, bertindak, membuat keputusan - perlu ditingkatkan demi memastikan cabaran-cabaran kehidupan masa hadapan dapat menyumbang kepada - bukan memudaratkan - kesejahteraan bangsa dan negara. Kedewasaan berfikir, misalnya, dapat memberi respons yang positif terhadap "Adakah sama orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan ?". Tentu tidak sama. Kalau begitu bertindaklah selaku warga bangsa dewasa yang taqwa melaksanakan pembinaan negara bangsa menurut lunas-lunas petunjuk jalan kebaikan seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran : "Kitab itu (Al-Quran) tidak ada keraguan padanya, jadi petunjuk bagi orang-orang yang taqwa". Jika timbul perbalahan dalam urusan bernegara hendaklah merujuk kepada Allah dan rasul dan jangan sekali-kali memutuskan silaturrahim.




Tema "Kedewasaan Bernegara" membuka dua alur pemikiran dalam proses pembangunan negara bangsa. Pertama, mengimbas kembali jejak-jejak pembangunan negara dalam tempoh suku abad negara merdeka lagi berdaulat, dan mengambil iktibar serta pengajaran daripada kekuatan dan kelemahannya. Kedua, melihat jauh ke hadapan ------ setengah abad negara merdeka lagi berdaulat ------ dengan berbekalkan perancangan untuk meningkatkan "Kedewasaan Bernegara" bagi melahirkan negara bangsa cemerlang yang diredai oleh Allah Subhanahu Wataala.




"(Inilah) negeri yang baik dan Tuhan yang pengampun."
-Surah As Saba, Ayat 15



Dipetik daripada laman web : http://www.kkbs.gov.bn/html/2009_tema.htm





No comments: